Jumaat, 13 Ogos 2021

Rokok seludup bernilai lebih RM14,000 dirampas


 Rokok seludup yang dirampas dibawa Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.
RAMPASAN: Rokok seludup yang dirampas dibawa Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas sebanyak 136 karton rokok seludup dalam satu serbuan di Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Jalan Apas, di sini kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Ridzauddin Selamat berkata serbuan dibuat kira-kira jam 10.05 malam di sebuah rumah atas air di lokasi kejadian.

 “Sebaik menerima maklumat aktiviti penyeludupan itu, sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) yang menjalankan tugas Op Benteng / Op Gelora Khas membuat serbuan bagi menjejaki suspek.

 “Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak meninggalkan rumah berkenaan lebih awal,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut telah menemui beberapa kotak mengandungi 22,640 batang rokok pelbagai jenama disyaki diseludup masuk dari negara jiran.

“Kesemua rokok tersebut dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan rokok seludup tersebut dianggarkan berjumlah RM14,694.40 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya

Ridzauddin berkata, PPM berharap masyarakat persisir pantai dapat menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mendapati terdapat kesalahan yang melanggar undang-undang negara di sekitar mereka.

“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi whatsApp PPM wilayah 4 Sabah di nombor 013-2831197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628,” katanya.

Tiada ulasan: