Jumaat, 13 Ogos 2021

Insiden tembakan di kem TUDM, polis kenalpasti suspek


Laluan masuk ke Kompleks Skuadron 330 TUDM, Kota Samarahan.

KUCHING: Kes tembakan di Balai Pengawal (HANDAU) Kompleks Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan, seorang daripada empat anggota yang maut adalah suspek yang terlibat dalam insiden itu, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata. 

Dedahnya, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan empat anggota TUDM yang bertugas di Balai Pengawal(HANDAU), seorang anggota iaitu suspek merampas senjata api dari tempat simpanan senjata api Balai Pengawal. 

"Rakannya cuba menenangkan beliau tetapi telah ditembak di bahagian perut. Selepas itu suspek masuk ke bahagian bilik rehat dan menembak seorang lagi di bahagian sisi dada sebelah kanan dan mati di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya lagi, kemudian suspek menembak seorang lagi rakannya di bahagian belakang. 

"Suspek kemudian membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu menembusi otak dan mati di tempat kejadian. Dua orang mangsa termasuk suspek mati di tempat kejadian dan seorang mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Pusat Jantung Umum Sarawak, Kota Samarahan," katanya. 

Tegas Mancha, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak telah bergegas ke tempat kejadian. 

Katanya lagi, setakat ini siasatan meliputi pengambilan sampel DNA, senjata, kesan tembakan dan kelongsong senjata dan akan dihantar ke forensik PDRM dan Jabatan Kimia untuk siasatan selanjutnya. 

Selain itu, beliau memberitahu polis juga telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi akan dipanggil untuk siasatan lanjut. 

"Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan," ujarnya. 

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

"Maklumat suspek dan mangsa dirahsiakan untuk menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga. Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atas kejadian ini," ujarnya.