Selasa, 10 Ogos 2021

usahawan kosmetik sudah di panggil polis

KUALA LUMPUR: Polis sudah memanggil usahawan kosmetik terkenal untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 selepas dilihat menikmati durian bersama beberapa individu lain.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata ketika ini, pihaknya giat melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

"Kita sudah panggil semua individu berkaitan termasuk usahawan itu untuk proses rekod percakapan.

"Proses itu penting untuk polis melengkapkan kertas siasatan dan membolehkan tindakan seterusnya dilaksanakan," katanya kepada BH, hari ini.

Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Sebelum ini, polis dilaporkan menyiasat usahawan berkenaan selepas tular gambar tangkap layar lelaki itu menikmati durian bersama beberapa individu lain dan disiarkan secara langsung di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, dipetik berkata, tangkap layar siaran secara langsung itu dikesan ditularkan seorang pengguna media sosial, kira-kira jam 1.10 tengah hari pada 30 Julai lalu.

Tangkap layar itu dikongsi lebih 4,000 kali di media sosial bersama komen netizen yang turut menanda (tag) media sosial Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa tindakan diambil terhadap pengusaha kosmetik terbabit.

Tiada ulasan: