
KENINGAU: Sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kekal akan di buka di daerah Keningau sekaligus menjadikan PPV Dewan Masyarakat Bingkor pusat vaksinasi keempat di daerah berkenaan.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik ketika membuat tinjauan ke PPV Dewan Masyarakat Bingkor hari ini berkata, pembukaan PPV kekal itu dapat membantu meningkatkan jumlah pemberian vaksin harian dalam kawasan Bingkor.
Jelas beliau, PPV Dewan Masyarakat Bingkor yang berkapasiti 400 orang dalam satu-satu masa itu dijangka akan mula beroperasi sejurus selesai pemberian dos kedua untuk Program Outreach pada 14 dan 15 Ogos 2021 ini.
"Hari ini saya berkesempatan melawat Dewan Masyarakat Bingkor yang bakal dijadikan sebagai PPV disamping melihat persediaan yang dilakukan sebelum ianya mula beroperasi. Ini menjadikan Dewan Masyarakat Bingkor, PPV keempat dalam daerah Keningau.
"PPV kekal pertama adalah di Dewan Masyarakat Keningau, kedua adalah Dewan Kompleks Sukan Keningau, ketiga adalah Dewan Masyarakat Sook manakala PPV keempat adalah Dewan Masyarakat Pekan Bingkor. Dengan adanya PPV Dewan Masyarakat Bingkor, PPV Klinik Bingkor akan ditutup dan dipindahkan ke PPV Dewan Masyarakat Pekan Bingkor.
"Semoga dengan pembukaan PPV tetap ini akan dapat mengurangkan kesesakan di PPV yang sedia ada dan seterusnya menjimatkan masa serta memudahkan masyarakat untuk mengambil vaksin COVID-19 di daerah ini.
"Usaha ini juga dapat menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan vaksin COVID-19 kerana operasi pemberian vaksin akan bakal berjalan dengan lancar dan mudah, " kata Robert.
Hadir sama, wakil Pegawai Daerah Keningau, Daffri Adzahari dan Kamaruddin Latif; Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bingkor, Dr. Ganesh Kumar; Wakil KKM, Dr. Ronald dan kakitangan UPPM DUN Bingkor.
Dalam pada itu, Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut menyarankan masyarakat setempat supaya tampil mendapatkan suntikan vaksin seperti yang ditetapkan dalam temujanji masing-masing.
Jelas beliau lagi, suntikan vaksin adalah amat penting memandangkan ia bukan sahaja dapat meningkatkan imuniti diri tetapi pada masa sama berupaya melindungi orang sekeliling daripada jangkitan penularan wabak itu.
Tambahnya, usaha tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan penularan wabak COVID-19 tetapi juga dapat membentuk imuniti berkelompok sekaligus mencapai sasaran yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan