Rabu, 11 Ogos 2021

Lelaki bersilat, bersenjata parang diberkas


KUCHING: Seorang lelaki diberkas polis berhubung dua video tular yang menunjukkan kejadian khianat terhadap notis pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah masjid dan aksinya bersilat sambil memegang parang.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 34 tahun terbabit ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah semalam sekitar jam 1 tengah hari.

"Dua kertas siasatan dibuka terhadap suspek di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek juga dikenakan tindakan di bawah kesalahan lalu lintas kerana menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar.

"Suspek akan dipohon reman hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

"Bagaimanapun, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya.

Pada 9 Ogos lalu, polis menerima laporan polis berkenaan satu video berdurasi 1 minit 54 saat menunjukkan satu kejadian khianat terhadap notis pematuhan SOP berkenaan jumlah jemaah di sebuah masjid di Jalan Pinang.

Hasil siasatan mendapati pada 10 Ogos, terdapat satu lagi video membabitkan suspek yang sama sedang bersilat sambil memegang sebilah parang di hadapan sebuah rumah ibadat di Jalan Carpenter.
 

Tiada ulasan: