KUALA LUMPUR: Jumlah pesakit yang hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) seluruh negara mencatatkan penurunan ketara sejak pelaksanaan CAC secara maya hujung bulan lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata jumlah pesakit yang hadir ke CAC menurun antara 30 hingga 50 peratus setakat semalam.
Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) itu berkata, ada sebilangan CAC, khususnya di Selangor tidak mencatatkan penurunan, namun kehadiran pesakit tidak meningkat ketara dan kekal seperti seperti jumlah sebelum ini.
"Hasil perbincangan dengan pihak CAC semalam mendapati majoriti CAC mencatat penurunan kehadiran pesakit antara 30 hingga 50 peratus.
"CAC yang tidak merekodkan penurunan pula kekal pada status quo, antaranya di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Kebanyakan pesakit yang hadir adalah warga asing.
"Saya menjangkakan penurunan ketara ini adalah hasil pelaksanaan CAC secara maya, namun saya belum memiliki data secukupnya untuk mengesahkan," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah kehadiran pesakit COVID-19 di beberapa CAC yang masih tinggi, walaupun CAC secara maya sudah dilaksanakan dua minggu lalu.
Pada 26 Julai lalu, Dr Chee Kheong dilaporkan berkata, pesakit COVID-19 di Lembah Klang yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala tidak perlu ke CAC, sebaliknya menjalani pengasingan di rumah dan dipantau secara maya.
Ini berikutan GKV STF memulakan CAC secara maya berkuat kuasa serta-merta, susulan kesesakan di CAC sekitar Lembah Klang serta peningkatan kes positif sejak akhir-akhir ini.
Isu kesesakan di CAC merangkumi kehadiran pesakit baharu dan individu yang mahu memotong gelang, kerap dilaporkan sepanjang bulan lalu, khususnya di Selangor, selaras peningkatan kes harian di seluruh Malaysia dan negeri itu.
Ketika ini, Malaysia merekodkan antara 17,000 hingga lebih 20,000 kes baharu COVID-19 setiap hari sejak hujung bulan lalu hingga hari ini, dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 6 Ogos lalu dengan 20,889 kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan