Jumaat, 13 Ogos 2021

TUDM DEDAH IDENTITI ANGGOTA YANG MAUT

KUCHING: Semua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam kejadian amuk di Balai Pengawal, Skuadron 330, di Kota Samarahan, pagi tadi, berasal dari Sarawak dan sudah berkahwin.

Anggota terbabit adalah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan; Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu dan Koperal Udara Ho Swee Boon berasal dari Lundu, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi anggota, Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, yang berasal dari Siniawan, Bau, meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan, ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di perut.

Markas TUDM dalam kenyataannya menyebut waris semua anggota berkenaan sudah dimaklumkan mengenai kematian mereka melalui pihak pengurusan TUDM di Pangkalan Udara Kuching.

Katanya, TUDM sedang membuat persediaan untuk urusan berkaitan pengebumian jenazah semua mangsa.

"Siasatan kes dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kami meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai, selain menghormati sensitiviti waris anggota terbabit," katanya.

Jurucakap Markas TUDM juga mengesahkan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, meninjau lokasi kejadian itu, petang tadi.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Beliau sebelum itu dilihat tiba di kem berkenaan pada jam 3.30 petang tadi dan keluar pada jam 5 petang, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan kepada wakil media.

"Beliau bertemu dengan waris mangsa di Pergerakan Udara Pangkalan Udara Kuching dan menzahirkan ucapan takziah kepada balu serta keluarga semua anggota terbabit.

"Beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Tabung Kebajikan TUDM dan

sumbangan bantuan kebajikan kepada waris terbabit dan berharap semoga keluarga reda serta bersabar dengan ujian yang menimpa," katanya.

Mayat mangsa kes tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan pagi tadi.
Mayat mangsa kes tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan pagi tadi.

Tiada ulasan: