Rabu, 11 Ogos 2021

ESSCOM tingkatkan penguatkuasaan cegah kemasukan PTI


 Ahmad Fuad semasa mengadakan sidang media di jeti CIQ Lama.
SIDANG MEDIA: Ahmad Fuad semasa mengadakan sidang media di jeti CIQ Lama.

TAWAU: Peguatkuasaan di Jeti Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) Lama, di sini terus ditingkatkan bagi mencegah kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dan aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.

Operasi penguatkuasaan itu dikordinasi oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bersama beberapa jabatan dan agensi lain.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan warga asing secara haram di CIQ Lama.

“Tempat ini sebenarnya kemudahan untuk penduduk dari Pulau Sebatik memungah hasil pertanian dan keperluan harian mereka.

“Bagaimanapun, ia turut dibanjiri oleh warga asing dan aktiviti penyeludupan disebabkan penguatkuasaan dilakukan tidak teratur sebelum ini,” katanya pada mengadakan sidang media, di jeti CIQ Lama, di sini hari ini.

Menurutnya, masalah kemasukan PTI perlu dibendung kerana mereka boleh membawa kepada penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Perkara ini sangat membimbangkan kerana kita takut varian delta yang dapat memindahkan wabak dengan cepat akan dibawa oleh warga asing berkenaan.

“Justeru, kita sudah mulakan peguatkuasaan bersepadu ini sejak 9 Julai lalu yang dijalankan setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 3 petang,” katanya.

Beliau berkata, seramai dua warga asing  ditangkap atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan pasport tamat tempoh sejak operasi bersepadu itu dilaksanakan.

Katanya, pihak berkuasa juga turut mengarahkan seramai 17 orang PTI berpatah balik sebelum mereka tiba di jeti CIQ Lama.

Selain itu jelasnya, tiada lagi kegiatan PTI dan penyeludupan berlaku di kawasan itu, malah pergerakan keluar masuk penduduk Pulau Sebatik ke Tawau lebih teratur,” katanya.

Beliau yang turut melawat Pos Keselamatan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sungai Melayu, Wallace Bay mendapat maklumat mengenai penugasan kawalan di lokasi terbabit.

Ahmad Fuad berkata, penguatkuasaan di Pos Keselamatan dan Rondaan Jarak Jauh (RJJ) di Pulau Sebatik telah diperketatkan melalui kawalan daratan serta laluan laut ke Tawau.  

“Pihak ESSCOM  memajukan kertas cadangan kepada Maljis Keselamatan Negara (MKN) untuk pembinaan Pos Keselamatan di Sungai Aji Kuning.

“Pembinaan itu perlu kerana Sungai Aji Kuning adalah laluan yang selalu digunakan oleh PTI dan penyeludup masuk ke perairan negara,” katanya.

Tiada ulasan: