Selasa, 10 Ogos 2021

Cadangan sekalikan visa umrah,pelancongan tidak praktial'

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan berhubung pemberian visa umrah dan visa pelancongan disekalikan kepada umat Islam di negara ini untuk ke Arab Saudi, dilihat tidak praktikal untuk dilaksanakan.

Ini kerana visa pelancongan yang diberikan Arab Saudi membolehkan rakyat Malaysia berada di negara itu selama 90 hari setahun berbanding visa umrah yang hanya membenarkan berada tidak melebihi 30 hari.

Keistimewaan visa pelancongan ini pula hanya diberi kepada dua negara Islam iaitu Malaysia dan Brunei susulan hubungan akrab dengan Arab Saudi.

Susulan itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata usaha Kerajaan Malaysia untuk disekalikan visa pelancongan dan visa umrah dibimbangi boleh mengusutkan hubungan dua hala.

Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah memastikan rakyat menggunakan agensi pelancongan berdaftar untuk mengerjakan umrah serta melancong.

"Keistimewaan visa pelancongan ini diberi kerana keakraban hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Melalui keistimewaan ini, bukan saja rakyat Islam dapat ke Arab Saudi, tetapi rakyat bukan Islam di Malaysia juga dapat mengunjungi lokasi menarik yang ada di sana kecuali Tanah Haram, sekali gus dapat membuka lebih peluang perniagaan kepada agensi pelancongan kita di sini.

"Jadi, mengapa kita mahu sekalikan visa pelancongan dengan visa umrah ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini berkata, kerajaan sedang meneliti beberapa prosedur termasuk berkaitan visa, sebelum membolehkan rakyat Malaysia menunaikan ibadah umrah.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat termasuk kemungkinan untuk sekalikan visa pelancongan bersama visa umrah.

Rakyat Malaysia dijangka dibenar mengunjungi Arab Saudi termasuk menunaikan ibadah umrah tahun ini, namun keputusan itu bergantung kepada situasi semasa COVID-19 di negara ini, termasuk kadar vaksinasi dan kebenaran daripada Kerajaan Arab Saudi.

Arab Saudi membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia sejak 1 Ogos lalu dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu.

Tiada ulasan: